"Seorang Isteri, Mak, Suri Rumah dan Grafik Design diRumah sepenuh masa..:-)"

Friday, December 17, 2010

Hasrat Dengki

Hasrat Dengki.

Khas Buat Teman-TemanKu Dan Hindarilah Akan
Hasad Dengki

Hasad dengki sebenarnya ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat
pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Perkataan hasad berasal
daripada bahasa Arab iaitu al-hasad. Orang yang mempunyai sifat hasad ini
mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada
dirinya.

Dalam bahasa Melayu, perkataan 'dengki' digandingkan dengan perkataan hasad
bermaksud: "Kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang
amat sangat." Jadi, hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dalam
diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan."

Dalam Kitab Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca
dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang
disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di
sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2. Berasa Diri Mulia.
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada
orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang
melebihinya.

3. Takbur.
Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diri
terhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan
seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia
dilaknat oleh Allah S.W.T.

4. Ujub.
Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam.
Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang
mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.
Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba
merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya
apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.

6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.
Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah
untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad
dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan
olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7. Busuk Hati.
Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu
tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila
disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya
menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak
lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka
hati.

Walau bagaimanapun dalam Islam terdapat dua perkara yang dibenarkan hasad.
Jenis hasad ini dipanggil sebagai 'ghibtah' iaitu iri hati dengan kejayaan
dan kemampuan seseorang lalu dia cuba bersaing secara sihat. Sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali
dalam dua perkara; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniai harta lalu
menginfakkannya (di jalan Allah) pada malam dan siang hari, (juga iri hati)
kepada orang yang diberi kepandaian membaca al-Quran lalu membacanya setiap
malam dan siang" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

renung-renungkanlah...adakah kita bergitu juga?.....fikirkan sendiri...!!!!!!!!!!

0 comments: